NOVEL
Penulisan Kreatif
Bahasa Melayu
Zairin Zulaikha bt. Harun


Karya Sasterawan Negara
Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) adalah seorang Sasterawan Negara Malaysia. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan mungkin lain-lain. Dalam tahun 1991, beliau telah di anugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.
Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun. Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang di Johor telah dinamakan bersempena dengan nama beliau.
Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.
Usman adalah di antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun di dalam sajak-sajaknya. Dengan menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya, beliau pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah di antara keistimewaan yang ada pada Usman Awang.
Ketokohan Usman Awang menonjolkan kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang. Usman adalah seorang seniman yang berjiwa rakyat.
Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, China dan Rusia, sebagai salah seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Peranchis, Thai, Czechkoslovakia, Danish, Tamil, Itali, Rusia dan lain-lain. Beliau di anggap sebagai seorang yang berjiwa besar dalam bidang sastera yang tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara.
Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat yang tertinggi di tanah air.
Dalam tahun 1982 Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985 iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Dalam tahun 1995 beliau diberi Anugerah Penyair Johor. Antara karya-karya terkenal beliau adalah :-
Novel : Tulang2 Berserakan
Cerpen : Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan lain-lain.
Drama : Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam dan lain-lain.
Sajak : Pak Utih, Ke Makam Bonda, Salam Benua, Gadis Di Kuburan, Kekasih, Bunga Popi dan lain-lain.
Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Bukan saja hidupnya sebagai pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga sebagai penggerak yang berani memberi inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Gentar Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti lain. Kumpulan Puisi “Keranda 152” dan “Telok Gong” juga adalah daya usaha Usman Awang bersama penyair lain.
Ketokohan Usman Awang dalam Melayu Moden, khususnya sajak dan drama, amat banyak diperkatakan. Maka itu nama Usman Awang paling terkenal kepada semua pengkaji dan peminat sastera melayu di pelbagai peringkat dan golongan, di dalam atau luar negara. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan rasa keteguhan terhadap tradisi baru sastera melayu. Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah luntur dan dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai zaman dan situasi.

ABDULLAH HUSSAIN boleh dikatakan paling versatil dalam kalangan Sasterawan Negara. Beliau menggauli semua genre penulisan, seperti cerpen, novel, biografi, autobiografi, kritikan, terjemahan, skrip drama dan skrip filem. Beliau juga terlibat secara langsung dalam industri penerbitan seperti buku, majalah dan akhbar banyak negara di Asia Tenggara.
Pertemuan Abadi merupakan himpunan karya beliau yang terkenal dihasilkan sejak awal tahun 1970-an hingga awal tahun 2000. Karangan dalam buku ini terbahagi kepada cerpen yang terkenal, fragmen novel, fragmen biografi , fragmen skrip drama televisyen, fragmen skrip drama pentas, fragmen skrip filem, puisi dan esei sastera.
Dalam buku ini terdapat enam cerpen, iaitu “Pertemuan di Tjiandjur”, “Pertemuan di Kuching”, “Pertemuan di Kota Bharu”, “Sebuah Pekan Bernama Semporna”, “Melissa”, dan “Nagasaki”. “Pertemuan di Tjiandjur” kelihatan seperti kisah benar, iaitu kunjungan insan bernama Sanusi Junid ke Jakarta untuk berkahwin. Ketika di Tjiandjur juga Abdullah teringat saat beliau memperjuangkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945.
Unsur diskriminasi dipaparkannya dalam cerpen “Pertemuan di Kota Bharu” berdasarkan pengalaman beliau menemani seorang teman berurusan di pejabat tanah di Kuala Lumpur. Beliau menggunakan latar Kota Bharu yang menghadapi banyak masalah sosial pada tahun 1970-an.
Cerpen lain turut memaparkan kisah benar yang dialami oleh Abdullah. Contohnya kesan kunjungan ke pekan Semporna bersama-sama dengan Arena Wati dikisahkan dalam cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna”. “Melissa” adalah watak sebenar pelajar Universiti Malaya yang menulis latihan ilmiah berdasarkan buku Sebuah Perjalanan karangan Abdullah.
Bab seterusnya terdiri daripada fragmen karya Abdullah seperti novel Interlok, Masuk ke Dalam Cahaya, danImam. Interlok berkisar tentang perjuangan menegakkan bahasa Melayu sebagai penyatu kaum di Malaysia setelah mencapai kemerdekaan.
Masuk ke dalam Cahaya mengisahkan pemuda yang tersimpang jauh daripada ajaran Islam; kemudian membawa diri, meninggalkan rumah. Dalam perjalanan, dia singgah di sebuah kampung, tertarik dengannya, lalu menetap di situ. Cabaran memuncak apabila Raja Ifrit datang ke kampung tersebut membawa kemungkaran.
Imam adalah tentang perjuangan imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri namun ditentang oleh sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa, malah saudara-maranya sendiri.
Bab seterusnya fragmen biografi tentang Za’ba, skrip drama televisyen “Keruh di Hulu”, skrip drama pentas “Intan”, dan skrip filem “Konserto Terakhir”. Penghasilan skrip ini membuktikan kepengarangan Abdullah yang luar biasa.
Walaupun tidak seproduktif menghasilkan cerpen dan novel, puisi nukilan Abdullah turut mempunyai kekuatan yang tersendiri. Dalam buku ini terdapat lima puisi yang kesemuanya pengalaman peribadi pengarang sendiri.
Abdullah juga pengarang esei sastera yang baik. Pengarang menitipkan tiga esei, yang salah satunya ucapan penerimaan Anugerah Sastera Negara yang kelapan. Terdapat juga esei yang menggariskan wawasan dan harapan beliau dalam menghadapi perkembangan sastera abad ke-21 yang lebih mencabar.
